Pengurusan Pembelajaran Kondusif


 

SITI NUR BALQIS BINTI MUHAMAD AREFEN

D20201095295

KUMPULAN D 

Persekitaran yang kondusif bukan sahaja amat penting demi menjalankan proses PdP yang lancar, namun ia merupakan satu elemen penting yang perlu diberi perhatian dalam usaha kita untuk meningkatkan hasil pembelajaran. Menurut Fraser, persekitaran pembelajaran ini adalah suatu tempat berlakunya proses pembelajaran, di dalam konteks sosial, psikologikal mahupun pedagogikal yang mempengaruhi proses dan pencapaian akhir pembelajaran. Menurut beliau lagi, persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan aktiviti intelektual dan skil-skil seperti kerjasam dan toleransi, di samping menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan minda para pelajar. Jika kita berkata tentang proses PdP semasa sebelum berlakunya pandemik Covid-19, pastinya persekitaran pembelajaran ini akan dikaitkan dengan persekitaran fizikal ataupun persekitaran bilik darjah.
 
Para pelajar banyak menghabiskan masa untuk PdP di dalam bilik darjah di sekolah. Di dalam bilik darjah, semua aspek adalah penting contohnya seperti kedudukan meja pelajar, ia juga sebenarnya adalah penting untuk menghasilkan persekitaran pembelajaran yang baik. Pembelajaran abad ke-21 ada menyatakan bahawa kedudukan meja pelajar boleh dipelbagaikan semua murid dapat mengembangkan lagi skil berkomunikasi dan kerja berkumpulan di antara rakan-rakan. Contoh susun atur yang boleh dibuat adalah seperti gambar di bawah. Guru perlu pastikan yang mana adalah yang terbaik dan berkesan untuk anak muridnya.

 

   

 


 

 
 
 
 
 
 
 
 
Selain itu, guru hendaklah melaksanakan peraturan dan rutin di dalam bilik darjah untuk memastikan persekitaran pembelajaran murid-murid berapa dalam keadaan yang teratur. Peraturan dan rutin ini dibentuk bukan bertujuan untuk menghukum namun bagi mengurangkan gangguan dan meningkatkan kualiti hasil pembelajaran. Salah satu peraturan yang biasa ditemui ialah setiap murid perlulah mempunyai rasa hormat, mesra dan bersifat membantu rakan-rakan mereka. Contohnya murid perlu mengangkat tangan mereka jika mahu menjawab atau bertanya sebarang pertanyaan. Hal ini adalah untuk mengelakkan murid dari terus memotong percakapan guru.


Sesuatu rutin dan peraturan juga boleh menghasilkan satu budaya yang baik. Sesuatu rutin itu boleh dibentuk melalui perbincangan antara guru dan murid dan perlu sentiasa diberi peneguhan agar prosedur-prosedur yang ditetapkan akan menjadi amalan di dalam bilik darjah lantas menjadi budaya di sesebuah sekolah. Contohnya rutin membersihkan kelas, di mana pelajar bergilir-gilir bertugas mengikut jadual tugasan. Rutin yang sistematik akan mewujudkan bilik darjah yang kondusif, semangat kekitaan, menjimatkan masa dan tenaga guru dan seterusnya semestinya akan mengajar murid tentang disiplin diri di dalam bilik darjah.

Umumnya, kita semua tahu bahawa PdP biasa dilakukan di dalam kelas secara bersemuka namun, ketika virus Corona merebak dan melanda seluruh dunia, institusi pelajaran perlu menyesuaikan diri kepada pertukaran cara belajar yang disarankan oleh Kementerian Pelajaran di dalam pandemik ini; iaitu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). PdP jenis ini semestinya adalah amat sukar dan pelik pada pertama kali dilaksanakan kerana kita telah terbiasa dengan kaedah bersemuka. Namun, kaedah alternatif yang terpaksa dilakukan supaya persekitaran pembelajaran di rumah menjadi lebih kondusif. 


Antara kaedah yang boleh dilakukan oleh guru semasa PdPR ini adalah para guru merakam pengajaran dan memuat naik video tersebut ke laman web seperti Youtube atau Google Drive agar para pelajar boleh melihat semula apa yang yang telah diajar oleh guru semasa dalam kelas. Cara ini  membolehkan pelajar untuk menonton rakaman pembelajaran di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja yang mereka mahukan. 

Selain itu, para guru juga boleh membuat satu nota infografik sesuatu topik yang hendak diajar. Hal ini kerana kaedah pemberian soalan latihan tanpa penerangan sebenarnya adalah sesuatu yang memberi kesukaran kepada murid dan juga ibu bapa. Sekiranya para guru berhadapan dengan kesukaran dengan capaian internet berkelajuan tinggi, maka nota secara info grafik juga boleh membantu memberi kefahaman kepada murid dalam menyiapkan tugasan yang diberi. Nota secara info grafik ini boleh diedarkan sama ada melalui Whatsapp Group atau pun modul bertulis yang boleh diedarkan secara berkala.
 
Justeru itu, diharapkan agar semua pihak bekerjasama berganding bahu dalam berusaha untuk menangani isu Covid-19 ini serta mencari kaedah yang lebih bagus supaya anak-anak dapat belajar dengan tumpuan penuh dan fokus tanpa sebarang gangguan Ketika PdPR dilaksanakan.



Comments